Baju Kurung

Baju kurung merupakan pakaian tradisional masyarakat Melayu khursus kepada kaum wanita yang secara umum nya pemakaian Baju Kurung kerap kali dikaitkan dengan kesopanan adat resam budaya Melayu. Baju kurung kekal menjadi satu fesyen yang amat digemari oleh kaum wanita di Malaysia. Busana tradisional ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat merentas kaum dan usia kerana rekaannya yang berkembang bersesuaian fesyen semasa. Dalam blog kali ini, pembaca dapat mengetahui beberapa jenis baju kurung yang terdapat pada masa kini yang menarik dan sesuai digayakan untuk aktiviti harian, kerja atau perayaan dan fokus kita dalam penulisan kali ini adalah Baju Kurung untuk golongan wanita. 

Pemakaian Baju Kurung ini berkait rapat dengan ajaran Islam yang telah lama bertapak dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu dipercayai sejak abad ke-12 melalui penemuan batu nisan bertulisan jawi di Pekan, Pahang (Mohd. Mokhtar Shafii, 1980). Baju Kurung lahir melalui asimilasi budaya yang masuk ke Tanah Melayu (nama Semenanjung Malaysia pada masa itu) oleh pedagang-pedagang asing (Siti Zainon Ismail, 2006).

Baju Kurung juga terkenal dengan rekaannya yang longgar dan labuh untuk kedua-dua lelaki dan perempuan, sesuai dengan kehendak pakaian Islam yang menuntut umatnya menutup aurat. Pemakaian Baju Kurung yang asal, bagi kaum perempuan juga mengambil kira gaya pakaian Islam dengan mengenakan penutup kepala yang dipanggil kelubung. Walhal, penutup kepala bukan merupakan satu budaya wanita Melayu sebelum kedatangan Islam. Begitu juga dengan Baju Kurung yang dipakai oleh kaum lelaki yang digayakan dengan Songkok (bukan kemestian).

Dalam tulisan Sejarah Melayu disebut, baju yang sempit dan pendek telah dilonggarkan dan dilabuhkan oleh Temenggung Tun Hassan (Siti Zainon Ismail, 2006). Seterusnya, melalui kajian kontekstual dapat dibuktikan bahawa penggayaan Baju Kurung bukan satu kebetulan tetapi mempunyai falsafah Islam yang didukung oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi dan diteruskan dari zaman ke zaman sehinggalah sekarang.

Tenas Effendy (1989) telah mengumpul ungkapan orang tua di daerah Riau, daerah rumpun Melayu yang terdekat dengan Malaysia (Semenajung Tanah Melayu) tentang baju kurung. Baju kurung yang digambarkan oleh beliau ialah baju kurung teluk belanga atau baju kurung yang dijahit dengan jahitan tulang belut di bahagian leher yang nampak halus dan rapi. Pakaian ini merupakan pakaian wanita yang bersopan dan juga pakaian setiap ahli dalam golongan masyarakat untuk pelbagai majlis, adat dan perayaan.

Jenis-jenis Baju Kurung.

Baju Kurung Teluk Belanga

Baju Kurung Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar tatkala Almarhum bersemanyam di Teluk Belanga Singapura dan berpindah ke Tanjung Puteri pada tahun 1866 (kini dikenali Johor Bahru). Almarhum menetapkan supaya baju perempuan labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan pada bahagian leher seperti mata lalat, tulang belut dan insang pari. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pakaian tersebut telah diubah mengikut cadangan Allahyarham Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor Pertama, satu kocek pada baju perempuan. Hari ini, Baju Kurung Teluk Belanga menjadi sinonim dengan baju kurung tradisional yang standard. Ia mengenakan kain yang disusun di sebelah kiri.

Baju Kurung Cekak Musang

Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dengan Baju Kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher Baju Kurung Cekak Musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Potongan baju ini dipercayai menerima pengaruh dari India dan China.

Baju Kurung Kedah

Baju Kurung Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thai, kerana baju tersebut menyerupai blaus pendek dibuat singkat sampai ke paras punggung di selatan Thai. Baju Kurung Kedah terdiri daripada baju yang longgar dan diperbuat daripada kain cita (kapas) yang berbunga kecil ataupun kain kasa tebal atau nipis yang jarang serta potongan leher bujur sireh. Baju Kurung Kedah dipakai bersama kain sarung. Kain sarung diikat ambak mengalur dan di masuk sebelah kiri atau kanan. Baju Kedah boleh disifatkan sebagai pakaian seharian atau pakaian basahan.Baju kurung Kedah dengan leher teluk belaga diperindahkan dengan perhiasan kalung papan di dada.Baju dipadankan dengan kain lipatan bertangkup atau berselisih di hadapan. Antara Baju Kurung  Kedah yang menarik yang boleh anda dapatkan adalah di Al Sara Fashion https://alsara.my/category-1/baju-kurung-kedah. Reka bentuk dan warnanya menarik serta berkualiti tinggi.

Baju Kurung Melaka

Pakaian tradisional wanita Melayu Melaka pula selesa mengenakan baju kurung teluk belanga dengan mempunyai hiasan dada dihiiasi sibar layang dari baldu bertekad manik dan labuci.

Baju Kurung Pahang

Baju Kurung Pahang atau dikenali sabagai Baju Kurung Riau Pahang pula menyingkap pertalian sejarah antara kedua negeri Riau dan Pahang. Walaupun Riau dan Pahang adalah dua buah negeri yang berjauhan, perhubungan politik dan sosial budaya yang terjalin sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka terserlah dengan terciptanya potongan pakaian ini yang juga dikenali sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya Turki. Berbeza dengan pesak baju kurung, kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung Riau Pahang berpesak kembang yang disambungkan kekek gantung. Baju berkolar tinggi ini amat menarik sekali dipakai dengan tujuh atau sembilan butir butang.

 

 

 

 

 

Kata kunci: Islam, Melayu, Baju Kurung, tradisional